fb fb fb fb fb

Banjir Kelantan beransur pulih, lebih ramai penduduk dibenar pulang

FOTO BERNAMA

RANTAU PANJANG, 28 November - Situasi banjir di Kelantan terus menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai penduduk terjejas dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Menurut portal InfoBencana JKM, setakat pukul 10 pagi, 5,377 individu melibatkan 1,963 keluarga masih berlindung di 40 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 6,336 individu sebelum ini.

"Tumpat kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 3,365 penduduk daripada 1,260 keluarga ditempatkan di 11 PPS. Ini diikuti Bachok dengan 984 individu daripada 310 keluarga di enam PPS.

"Di Machang, seramai 363 individu daripada 136 keluarga berlindung di enam PPS, manakala Tanah Merah menempatkan 260 penduduk daripada 82 keluarga di tujuh PPS.

"Pasir Mas pula mempunyai empat PPS beroperasi, menempatkan 232 individu daripada 117 keluarga.
Sementara itu, di Kuala Krai, empat PPS menempatkan 165 individu daripada 54 keluarga. Di Gua Musang, keadaan hampir pulih sepenuhnya dengan hanya tujuh individu masih berada di dua PPS," menurut kemas kini portal InfoBencana JKM.

Sementara itu, menurut Public Info Banjir JPS, dua sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (10.32m) dan Sungai Lebir di Kampung Tualang (35.83m).

Sungai Galas di Limau Kasturi pula berada pada paras amaran dengan bacaan 57.92m, manakala beberapa sungai lain berada pada paras waspada.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE