fb fb fb fb fb

Banjir: Satu lagi PPS dibuka di Pokok Sena

 (FOTO APM KEDAH)

ALOR SETAR, 27 September- Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pokok Sena yang dilanda banjir, menjadikan keseluruhan lima buah PPS dibuka di Kedah, setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah penduduk terjejas yang ditempatkan di semua PPS adalah seramai 317 orang daripada 95 keluarga.

PPS di daerah Pokok Sena dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau iaitu seramai 75 orang daripada 21 keluarga.

Sementara di Kota Setar, jumlah penduduk terjejas di PPS SK Taman Aman meningkat daripada daripada 40 orang kepada 52 orang, manakala PPS Dewan Taman Seri Bagan kekal 40 orang.

Di Kubang Pasu pula, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang dibuka sejak Isnin lepas mencatatkan pengurangan penduduk terjejas daripada 150 orang kepada 126 orang

PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang, Changlun turut merekodkan pengurangan yang kini menempatkan seramai 24 orang daripada lapan keluarga.

Dalam pada itu, tiga sungai di negeri berkenaan masih menunjukkan paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit pada paras 4.15 meter (m), Sungai Pendang (2.83 m) dan Sungai Laka di Kubang Pasu (22.24 m), manakala Sungai Bata di Kubang Pasu pada paras waspada iaitu 19.43 m.

(FOTO APM KEDAH) 

 

Media Baharu