fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas di Johor, Pahang kian meningkat

Anggota JBPM Johor membantu memindahkan penduduk terjejas banjir di Kg Batu 20 dan Kg Bukit Dagang, Sungai Tiram yang terputus hubungan selepas jalan utama dinaiki air akibat limpahan air sungai berdekatan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor terus meningkat kepada 4,157 orang melibatkan 1,231 keluarga dengan Pontian menjadi daerah terbaharu terjejas dengan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  dibuka.

Kesemua penduduk terjejas berlindung di 48 PPS di enam daerah.

Selain Pontian, daerah yang turut terjejas banjir ialah Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Johor Bahru dan Kulai. 

Setakat pukul 11:07 minit malam tadi, PPS Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Mutiara, Johor Bahru menempatkan paling ramai penduduk terjejas iaitu 347 penduduk daripada 110 keluarga.

Sementara itu, Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir berkata hujan berterusan dari malam tadi menyebabkan paras air sungai meningkat dan kawasan rendah dinaiki air.

"Hingga kini, kerja-kerja pemindahan mangsa sedang giat dijalankan di Kota Tinggi dan beberapa tempat di Johor Bahru dan Machap.

"Situasi terkini adalah terkawal dengan kerjasama dan koordinasi agensi lain di peringkat JPBN," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Bagaimanapun, katanya jumlah mangsa dijangka terus meningkat berikutan hujan masih berlaku menyebabkan peningkatan paras air sungai utama di Johor seperti Sungai Kahang dan Sungai Johor.

Sementara itu menurut laporan terkini yang dikeluarkan portal Info Bencana Jabatan kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang juga meningkat kepada 781 orang daripada 208 keluarga.

Catatan sehingga pukul 11:10 minit malam tadi memaklumkan, mereka kini berlindung di 20 PPS di Rompin, Pekan dan Maran.

Jabatan Meteorologi turut meramalkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya berlaku di Rompin sehingga esok, selain amaran hujan lebat berterusan tahap buruk diramal melibatkan daerah Pekan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI