fb fb fb fb fb

Banjir Johor: Empat PPS dibuka, jumlah penduduk terjejas meningkat

Foto APM Kluang

JOHOR BAHRU, 7 Oktober – Empat lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kluang, Pontian dan Batu Pahat, menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di Johor kini sebanyak 11.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan, jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir turut meningkat kepada 856 orang berbanding 618 orang pada lapan pagi tadi.

Kluang kekal mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling tinggi dengan 674 orang di enam PPS.

Di Pontian, 168 penduduk ditempatkan di dua PPS manakala di Batu Pahat, 14 penduduk ditempatkan di sebuah PPS.

Sementara itu, tujuh sungai di Kluang dan Pontian mencatatkan paras air normal antara 0.37 meter hingga 32.51 meter.

Namun, Sungai Benut di Simpang Renggam, Kluang mencatatkan bacaan waspada pada 6.18 meter manakala pemantauan paras air di Kampung Tengah Renggam, sedang dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada dalam menghadapi situasi banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN