KUALA LUMPUR, 26 Disember- Seramai 25,827 penduduk daripada 7,535 keluarga terjejas banjir di empat negeri setakat pukul 3.00 petang tadi.
Menurut portal InfoBencanaJKM, sebanyak 235 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka; membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Selangor dan Pahang.
Di Kelantan, sebanyak 89 PPS dibuka melibatkan 15,167 penduduk terjejas banjir daripada 4,621 keluarga.
Jumlah berkenaan meningkat berbanding 14,207 orang daripada 4,240 keluarga setakat tengah hari tadi.
Pahang pula, sehingga kini sebanyak 12 PPS dibuka di negeri itu membabitkan 10,153 penduduk terjejas banjir daripada 2,783 keluarga.
Jelas portal InfoBencanaJKM, ia membabitkan daerah Raub dan Lipis.
Sehingga kini, 12 PPS dibuka di kedua-dua daerah tersebut.
Manakala di Terengganu, seramai 10,153 penduduk daripada 2,783 keluarga ditempatkan di 133 PPS setakat tempoh tersebut.
Angka berkenaan menurut portal berkenaan juga meningkat berbanding 10,643 orang daripada 2,670 keluarga setakat tengah hari tadi.
Sementara itu, di Selangor, hanya satu PPS dibuka sehingga kini.
Menerusi portal tersebut, ia melibatkan empat penduduk terjejas banjir daripada satu keluarga.