fb fb fb fb fb

Banjir di Sabah: Sektor perbankan komited salur bantuan kewangan untuk pelanggan terjejas

Foto Bencana Alam Sabah

KUALA LUMPUR, 20 September – Banjir yang melanda Sabah mendapat perhatian industri perbankan apabila ia berikrar untuk menyalurkan bantuan kewangan serta bantuan lain kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana tersebut.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) memaklumkan bank ahli mereka mengambil langkah termasuk penangguhan pinjaman dan pembiayaan, penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman dan pembiayaan, penggantian percuma dokumen dan kad bank, pakej pembiayaan khas untuk pemulihan serta pengecualian yuran pembayaran lewat.

Kedua-dua persatuan tersebut melahirkan rasa simpati kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, mata pencarian dan orang tersayang dan menyatakan akan bersama setiap individu dan komuniti terjejas akibat bencana tersebut.

Bank yang mengambil bahagian juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk menghantar makanan, air bersih dan bekalan penting lain di lapangan.

"Kami faham bahawa pemulihan mengambil masa, dan bank-bank yang menjadi ahli kami terus komited untuk menyokong pelanggan dan komuniti yang terjejas. Kami menggalakkan sesiapa yang mengalami kesukaran atau menghadapi cabaran untuk tampil ke hadapan dan melibatkan diri dengan bank mereka untuk meneroka pilihan yang ada," jelas kenyataan tersebut.

Menurut ABM dan AIBIM, bantuan mereka termasuk menawarkan sokongan dan nasihat mengenai dana bantuan banjir, tuntutan insurans dan takaful serta bantuan perbankan yang tersedia.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN