fb fb fb fb fb

Banjir di Perak tidak jejaskan pusat peperiksaan SPM

Foto RTM

IPOH, 24 November - Tiada pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perak terjejas susulan banjir yang melanda empat daerah, iaitu Perak Tengah, Manjung, Batang Padang serta Larut Matang dan Selama.

Menurut Pengarah Pendidikan negeri, Zulkifli Mohamed Mokhtar, hanya beberapa akses jalan terputus sehingga menjejaskan pergerakan pelajar ke sekolah.

Sehubungan itu jelas beliau, Jabatan Pendidikan Negeri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi keselamatan lain bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi situasi luar jangka.

Usaha ini bertujuan memastikan calon SPM dapat hadir ke pusat peperiksaan meskipun berlaku banjir.

"“Sebenarnya, kita sudah membuat persediaan dengan menubuhkan unit psikologi dan melibatkan guru-guru kaunseling. Sekiranya terdapat calon yang terkesan, mereka akan memberikan semangat dan motivasi, supaya cabaran ini dilihat bukannya satu halangan,” katanya.

Sementara itu, pihak sekolah turut diminta mengemas kini maklumat calon yang terjejas, termasuk pelajar yang berada di pusat pemindahan sementara yang memerlukan pengangkutan atau penempatan sementara di sekolah berasrama.

Seramai 31,707 calon akan menduduki SPM di 296 pusat peperiksaan di seluruh negeri Perak bermula esok.

EZA YUSMAWATI YAACOP