fb fb fb fb fb

Banjir di Perak, 50 keluarga masih terjejas

Foto APM

IPOH, 8 Oktober- Jumlah penduduk yang terjejas banjir dan ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak meningkat kepada 167 orang daripada 50 keluarga setakat pada pukul 11.00 malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, dua PPS di daerah Kerian melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai.

"PPS SK Changkat Lobak menempatkan 70 penduduk terjejas banjir, manakala SK Parit Haji Aman Bagan Serai pula menempatkan 57 orang.

"Mereka berasal dari Kampung Matang Tengah, Kampung Beriai, Kampung Air Itam 2, Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Beriah di Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di Dewan Serbaguna Padang Tembak dalam daerah Hilir Perak, terdapat 40 orang daripada 14 keluarga yang masih berlindung di PPS tersebut.

Di Perlis pula, bilangan penduduk terjejas banjir terus mencatatkan peningkatan, dengan jumlah terkini yang dipindahkan mencecah 327 orang daripada 102 keluarga, setakat pada pukul 11.00 malam tadi.

Kesemua penduduk ditempatkan di lima PPS, iaitu SK Sena dan SK Arau yang dibuka sejak tengah hari, manakala PPS SK Guar Nangka dibuka pada pukul 4.30 petang tadi.

Dua lagi PPS iaitu SK Arau dan SK Bintong dibuka pada pukul 10.30 malam tadi.

Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa memaklumkan bahawa mereka yang dipindahkan adalah penduduk dari pelbagai lokasi, antaranya Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Repoh, Kampung Kubang Gajah, Kampung Bakong, Kampung Guar Halban, dan Kampung Banggol Sena.

Ketika ini, operasi pemindahan penduduk ke PPS dikendalikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis yang menggerakkan seramai 50 pegawai dan anggota berserta aset.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM