fb fb fb fb fb

Banjir di Pahang, kekal dengan 221 penduduk terjejas

KUANTAN, 21 Disember- Situasi banjir di Pahang tidak menunjukkan sebarang perubahan, setakat pukul 11.00 pagi tadi.

Jumlah penduduk terjejas di daerah Kuantan kekal dengan 221 orang yang terdiri daripada 62 buah keluarga.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, kesemua penduduk terjejas banjir itu ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating menempatkan 138 orang daripada 39 keluarga, PPS Surau Kampung Chendor Baru 45 orang daripada 13 keluarga dan SK Sungai Ular 38 orang daripada 10 keluarga.

Menurut Laman Web Rasmi Public Infobanjir, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin masih menunjukkan paras amaran berbahaya iaitu setinggi 11.24 meter manakala paras air 13 batang sungai utama di beberapa daerah negeri sudah menunjukkan trend menurun tetapi masih di peringkat waspada.

Menurut ramalan MetMalaysia, hujan dilaporkan berlaku di semua daerah mulai pagi hari ini hingga petang esok, dengan kemungkinan berlaku semula peningkatan paras air sungai.

Situasi semasa banjir di lima negeri menyaksikan 430 PPS dibuka menempatkan 71,798 penduduk terjejas daripada 20,319 keluarga, setakat pagi tadi.


(Foto Fail)

 

Media Baharu