fb fb fb fb fb

Banjir di Kelantan dan Terengganu meningkat

FOTO FAIL

KOTA BHARU, 24 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam ini meningkat kepada 1,518 orang berbanding lebih 1,300 orang, petang tadi.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 422 keluarga itu di tempatkan di 13 buah PPS di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang.
 
Setakat pukul 7.00 malam, Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, paling terkesan setakat ini ialah jajahan Pasir Mas dengan 843 penduduk di pindahkan ke tiga PPS di ikuti Jeli (539) dan Tanah Merah (114).
 
"Manakala satu-satunya PPS beroperasi di Gua Musang adalah di SK Limau Kasturi1 yang menempatkan 22 penduduk terjejas," menurut laman itu.
 
Sementara itu, paras bacaan air di empat sungai utama di negeri itu telah melepasi paras bahaya.
 
Sungai terlibat ialah Sungai Galas di Dabong dengan bacaan di rekodkan 39.55 meter, Sungai Golok di Kg Jenob (24.63 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang (9.16 meter) serta Sungai Kelantan di Kuala Besar (2.93 meter).
 
Pada masa sama, bacaan paras air di kebanyakan sungai -sungai lain juga menunjukkan trend menaik.

Sementara itu di Terengganu setakat 7.00 malam tadi, lebih 700 penduduk terjejas banjir telah dipindahkan ke 14 PPS di empat buah daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan bencana negeri memaklumkan daripada jumlah itu Dungun merekodkan penduduk terjejas tertinggi Iaitu 346 diikuti Hulu Terengganu 277, Setiu 65 orang manakala Marang kekal 12 orang.

Ketika ini juga agensi penyelamat sedang membantu memindahkan penduduk terjejas di beberapa daerah termasuk di Dungun.

Ketika ini hujan masih lagi direkodkan di sesetengah tempat.

TETITIA YUSOFF