fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah dan Johor, rekod peningkatan penduduk terjejas

Foto Fail

ALOR SETAR, 13 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah merekodkan peningkatan kepada 2, 438 orang, setakat pukul 4.00 petang tadi.

Kesemua mereka berlindung di 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di lima daerah.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua PPS di Sik telah ditutup tengah hari tadi, membabitkan PPS Balai Islam Tanjung Belita dan Surau Kampung Belimbing.

Daerah Kota Setar merekodkan jumlah penduduk terjejas paling tinggi, dengan 1,069 penduduk diarah berlindung di lapan PPS.

Di Baling, sembilan PPS dibuka di daerah itu yang menempatkan 553 penduduk, dengan masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong (75), SK Tanjung Pari (31), SK Seri Bayu (17) dan Surau Kampung Lahar (35).
 
Sementara itu, di PPS di Maktab Mahmud Baling (80), Dewan Tun Abd Razak Lama (125), Dewan Tun Abdul Razak Baru (86), dan Kompleks Rakan Muda Baling (193) penduduk.

Bagi daerah Kubang Pasu, hanya satu PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Putra yang menempatkan seramai 108 penduduk.
 
PPS SK Tualang di Pokok Sena pula menempatkan seramai 67 penduduk terjejas manakala di Pendang, 140 keluarga berlindung di dua PPS.

Dalam pada itu, di Johor jumlah penduduk terjejas mencatatkan sedikit peningkatan, dengan 196 orang daripada 62 keluarga, ditempatkan di empat PPS di Kluang, Batu Pahat dan Kulai.

PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Layang Layang, Kluang yang baru dibuka pada pukul 2.00 petang tadi, menempatkan 39 orang daripada 13 keluarga manakala PPS SK Seri Kampung Renggam, 62 orang.

PPS Dewanraya Kampung Murni Jaya, Kulai, menempatkan penduduk terjejas paling ramai iaitu 83 orang.

Selain itu, enam sungai di Batu Pahat, Kulai dan Mersing kini berada pada paras waspada, dengan Sungai Siku, Kampung Murni Jaya, Kulai, mencatatkan paras tertinggi, 17.58 meter.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM