fb fb fb fb fb

Banjir: 11 kawasan di Kelantan, satu di Terengganu 'blackout'

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Sejumlah 11 kawasan di Kelantan dan satu kawasan di Terengganu tiada bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk keselamatan penduduk terjejas banjir.

Menurut Laporan Harian Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 11 kawasan di Kelantan itu adalah Pengkalan Rakit, Gual Tok Deh, Terusan, Bukit Lata, Jeram Perdah, Bongor, Kusar, Taman Desa Wira Jaya 1-3, Taman PRIMA Lubuk Jong 1-3, Gual Tok Deh dan Putat.

Sementara di Terengganu melibatkan kawasan Pam Air Merlong.

"Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat," menurut laporan NADMA hari ini.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang direkodkan terjejas bekalan elektrik.

"Tiada PPS terjejas bekalan elektrik di kawasan dilanda banjir dengan pembekalan elektrik daripada sistem grid dan satu mobile genset dan dua portable genset di negeri Kelantan," menurutnya lagi. 

SITI AISHAH BINTI MD ISA