fb fb fb fb fb

COVID-19: Keadaan kekal terkawal, tiada varian baharu dikesan - KKM

Foto Hiasan / Foto File

PUTRAJAYA, 29 Disember - Tiada varian baharu COVID-19 dikesan di negara ini dan situasi penularan ketika ini kekal terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kebanyakan kes dilaporkan melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Beliau berkata, varian yang sedang menular di Malaysia adalah Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1 tidak mengakibatkan kes lebih teruk.

“Virus COVID-19 akan terus berada bersama kita sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelakkan jangkitan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Dzulkefly, kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan kematian akibat virus itu juga berada pada tahap rendah.

Beliau berkata, bagi Minggu Epidemiologi ke-51 iaitu dari 17 hingga 23 Disember lepas, kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 ke hospital adalah pada kadar 0.5 peratus manakala kadar kematian adalah 0.08 peratus.

"Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN