KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap kelestarian apabila Bangunan Mercu Alam Bina secara rasminya menerima pensijilan Green Building Index (GBI), seterusnya menjadikan universiti itu antara bangunan di UM pertama dianugerahkan pengiktirafan berprestij itu.
Menurut kenyataan dikeluarkan Universiti Malaya, pensijilan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap reka bentuk dan operasi bangunan lestari dan efisien dari segi tenaga dan sumber, serta memberi keselesaan kepada pengguna.
Bangunan Mercu Alam Bina itu menempatkan Fakulti Alam Bina telah dinilai dengan pendekatan lestari secara menyeluruh, merangkumi elemen pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, penjimatan air dan tenaga, serta landskap hijau yang menyokong biodiversiti kampus.
Menurut Dekan Fakulti Alam Bina, Professor Sr Ts. Dr. Azlan Shah Ali pengiktirafan itu memperkukuh kedudukan universiti dalam penarafan berkaitan dengan kelestarian seperti QS World University Rankings (Sustainability), THE Impact Rankings, juga UI GreenMetric World University Rankings.
“Pensijilan ini juga meningkatkan kredibiliti UM sebagai universiti bertaraf dunia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Kami komited membantu universiti dalam menghijaukan enam lagi bangunan di kampus melalui khidmat perunding dalaman fakulti,” katanya.
Turut hadir pada majlis penganugerahan itu ialah Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Profesor Dr. Yvonne Lim Ai Lian, Ketua Pegawai Eksekutif, Green Building Index Sdn Bhd Ar., Sarly Adre Sarkum dan barisan pengurusan Fakulti Alam Bina.

Prof Sr Ts. Dr. Azlan Shah Ali (kanan), Dekan Fakulti menerima pensijilan GBI daripada Ar Sarly Adre Sarkum (kiri)/Foto UM
Ketua Penyelidik Projek, Prof. Madya Sr Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid berkata, UM memiliki lebih daripada 500 blok bangunan di seluruh kampus dan setiap satunya menyumbang kepada impak karbon, penggunaan tenaga, dan kesejahteraan warganya. Pensijilan GBI bagi Mercu Alam Bina bukan sahaja simbolik, tetapi menjadi penanda aras strategik ke arah kelestarian menyeluruh infrastruktur kampus.
Majlis penganugerahan diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Fakulti Alam Bina. Sepanjang 25 tahun penubuhannya, fakulti telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan transformasi yang signifikan. Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, termasuk pameran pelajar, reruai maklumat kemasukan, taklimat, dan pameran bertaraf antarabangsa.
Pada majlis sama, turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman antara UM dan Green Building Index Sdn. Bhd.
“GBI bukan sahaja memperlihatkan komitmen kita kepada kelestarian, tetapi juga membuka ruang untuk pelaporan ESG yang lebih telus dan berwibawa. Data penggunaan tenaga, pengurusan air dan impak karbon daripada sistem GBI ini akan menjadi asas kepada pembangunan Laporan Tahunan ESG universiti” kata Professor Dr. Yahaya Ahmad, Penolong Naib Canselor Strategik Korporat pada Majlis Sambutan Jubli Perak Fakulti Alam Bina.
Katanya lagi, Mercu Alam Bina menjadi contoh praktikal bagaimana universiti boleh memimpin dalam pelaksanaan agenda kelestarian yang bukan sekadar sebagai peserta tetapi sebagai pencetus kepada perubahan dasar, inovasi teknologi dan gaya hidup lestari dalam konteks pendidikan tinggi.
Mengulas lanjut, Prof. Madya Sr. Dr. Noor Suzaini menjelaskan bahawa Bangunan Mercu Alam Bina berfungsi sebagai makmal hidup kepada para pelajar untuk mempelajari secara praktikal tentang proses dan kriteria pensijilan bangunan hijau.
Bangunan itu juga memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjalankan kajian, mencuba teknologi baharu, dan seterusnya meningkatkan tahap kelestarian bangunan dari semasa ke semasa.