fb fb fb fb fb

Bakat dan seni anak muda Orang Asli di Perak akan diketengahkan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun (lima, kiri) menyampaikan hadiah kepada juara program Asli Battle of the Band (ABOTBA) Perak 2025, kumpulan Mijo’s/ Foto RTM

IPOH, 21 September - Kerajaan Negeri Perak akan memberikan lebih perhatian kepada bakat-bakat seni anak muda Orang Asli di negeri itu

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak bagi menyalurkan bantuan kepada anak muda Orang Asli yang terlibat dalam kebudayaan dan seni.

Selain itu, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan lebih banyak program yang berskala besar dan meriah bagi memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli di Perak menunjukkan bakat mereka.

Kerajaan negeri juga merancang untuk membawa bakat-bakat besar ini ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan, dalam usaha mengembangkan potensi seni anak-anak muda Orang Asli di negeri tersebut.

"Memang kita sedar bahawa banyak kumpulan-kumpulan yang wujud di kawasan Sungai Siput sendiri ada tiga, empat kumpulan band yang memiliki peralatan sendiri dan kita akan melihat, berbincang dengan JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) dan juga kerajaan negeri untuk memberikan bantuan kepada anak anak muda kita terlibat dengan kebudayaan dan seni ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Asli Battle of the Band (ABOTBA) Perak 2025 yang diadakan sempena Karnival Anak Muda (KAMU) Perak di sini, hari ini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, JAKOA Perak, dan PEMADAM.

Dalam pada itu, percubaan kali pertama selepas lebih sepuluh tahun ditubuhkan ternyata membawa kenangan manis buat kumpulan Mijo’s, apabila diumumkan sebagai juara pertandingan ABOTBA Perak 2025.

Dengan kemenangan itu, kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda dari Kampung Tumboh Hangat  Bota akan mewakili Perak dalam pertandingan Battle of The Band peringkat kebangsaan yang bakal diadakan bulan November ini.

Sebanyak sembilan kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari ini namun hanya lima kumpulan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.

"Kita sebenarnya tak jangka untuk sampai ke final pun, tak jangka sebenarnya dan kami punya persiapan pun agak kurang rapi lah kalau ikutkan sebab masing-masing ada komitmen..jadi apabila dapat menjadi juara ini sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih lah kepada semua yang terlibat," jelas Reza Ezani Rajemi, ahli kumpulan Mijo’s.

Selaku juara, kumpulan ini berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 beserta trofi.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN