fb fb fb fb fb

Bajet 2023: RM8 bilion pelaburan untuk Jalinan Digital

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk dan menyediakan liputan gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara menjelang 2025.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif itu melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM8 bilion termasuk sumbangan pihak industri.

Katanya, bagi tahun hadapan, inisiaitif projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 akan disediakan sebanyak RM700 juta.

"Ini untuk melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah, " katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga akan merintis pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Tambahnya, projek itu akan memanfaatkan lebih 60,000 penduduk luar bandar dan disokong melalui geran sepadan sebanyak RM25 juta.

Dalam pada itu, pada tahun hadapan, Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi.

"DNB merancang untuk melaksanakan perbelanjaan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion dalam tahun 2023," katanya.

Keluarga Malaysia juga bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah.

Media Baharu