fb fb fb fb fb

Bajet 2023 dibentang semula selepas kerajaan baharu dibentuk

(Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun)

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Tidak timbul isu keabsahan Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, memandangkan ia masih belum diluluskan.

Menurut Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Bajet 2023 perlu dibentang semula pada sesi sidang parlimen akan datang selepas kerajaan baharu dibentuk.

"Oleh kerana telah dibubarkan, maka perbahasan itu tidak akan berlaku. Belanjawan itu tidak diluluskan. Maka mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Peraturan Mesyuarat, selepas PRU satu kerajaan baharu akan dibentuk dan kerajaan baharu tersebut mestilah membawa belanjawan mereka sendiri selepas ia dibentuk.

Mereka mestilah membawa belanjawan mereka sendiri dan dibaca kali pertama lagi sekali, dan kemudian kali kedua dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa seperti mana lazim. Nak meneruskan belanjawan ini pun ok," kata Tan Sri Azhar berkata dalam satu temu bual khas bersama RTM.

Beliau juga ditanya mengenai kedudukan Rang Undang-undang (RUU) yang telah diluluskan.

(Tan Sri Azhar Azizan dalam satu temu bual khas bersama RTM)

"Kita kena rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sekiranya parlimen dibubar, cuma RUU yang menunggu perkenaan Diraja saja yang akan sah pada parlimen akan datang.

"Jadi maksudnya satu RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat, dan kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara. Kemudiannya dipersembahkan kepada DYMM YDP Agong untuk diperkenankan, kemudian parlimen bubar maka RUU itu boleh diteruskan dan diperkenankan oleh DYMM Agong. Tetapi jika hanya diluluskan di Dewan Rakyat, maka ia tidak mempunyai apa-apa kesan," tambah Azhar.

Temubual khas wartawan Mohan Chinnasamy bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Media Baharu