fb fb fb fb fb

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu fokus utama seminar penerbitan DBP

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari (kanan) dalam sesi forum bersempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur hari ini/ Foto FB Malaysian Press Institute

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Usaha memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam dunia penerbitan majalah dan media baharu menjadi antara tumpuan utama Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai medium ilmu, malah berpotensi meningkatkan nilai komersial dan ekonomi bahasa itu agar kekal relevan dan berdaya saing.

"Kita mahu memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penerbitan majalah dan media baharu."

"Dalam dunia digital yang terbuka, isu seperti kualiti, kredibiliti dan ketulenan kandungan perlu diberi perhatian serius.

"Oleh itu, kita perlukan ekosistem yang mampan merangkumi latihan, dasar yang jelas serta insentif kepada penulis dan wartawan agar penerbitan berbahasa Melayu kekal berwibawa dan mampu bersaing di peringkat global," katanya.

Seminar dua hari yang bermula hari ini itu bertujuan membincangkan pelbagai aspek penting dalam landskap penerbitan semasa, termasuk pemerkasaan budaya membaca, penghasilan kandungan, etika penerbitan, serta strategi komersial yang selari dengan keperluan era digital.

Sebanyak 18 pembentang terdiri daripada ahli akademik, pengarang, editor dan pemain industri media menyertai seminar tersebut.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI