fb fb fb fb fb

Bahasa melayu di pentas antarabangsa, daulatkan bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Polemik tentang penggunaan bahasa Melayu dalam usaha mendaulatkannya, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, tidak pernah berkesudahan.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Feb lepas berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa, disifatkan oleh pejuang bahasa kebangsaan sebagai “sinar” ke arah merealisasikan matlamat itu.

Keputusan itu juga sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, yang mana kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi contoh terbaik dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Mengulas mengenainya, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata pengumuman Perdana Menteri itu bahawa kerajaan akan menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi termasuk di peringkat antarabangsa, merupakan keputusan tepat dan berani.

Keputusan itu katanya turut mencerminkan kesungguhan politik Ismail Sabri selaku pemimpin nombor satu negara dalam memartabatkan bahasa Melayu, sekalipun ada suara-suara tertentu yang membantah keputusan beliau.

“Penegasan kerajaan tentang perlunya penggunaan bahasa kebangsaan diberikan keutamaan dalam semua urusan rasmi kerajaan harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, terutamanya pegawai-pegawai kerajaan.

“Dalam konteks ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9, Tahun 2011 (Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam) dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1, Tahun 2020 (Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam),” katanya kepada Bernama.

Komitmen Ismail Sabri dalam mendaulatkan bahasa Melayu dibuktikan menerusi tindakan beliau menggunakan bahasa kebangsaan ketika menghadiri mesyuarat dua hala dan sidang media dalam lawatan rasminya ke Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Malah, Perdana Menteri dilaporkan tidak menolak kemungkinan bahasa Melayu dijadikan bahasa ASEAN pada suatu hari nanti.

Keberanian beliau menggunakan bahasa Melayu semasa urusan rasmi di luar negara itu menarik perhatian ramai rakyat Malaysia yang berbangga dengan hal berkenaan.

Dalam lawatan kerja ke Thailand, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian rasmi. (Gambar Bernama)

Pada akhir tahun lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga melakukan perkara sama, berbahasa Melayu selama kira-kira tiga minit ketika berucap pada Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland.

Ketika mengulas tentang dakwaan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi akan membuatkan Malaysia ketinggalan, Abang Sallehuddin berkata penggunaan bahasa kebangsaan membolehkan negara berjaya dengan acuannya sendiri.

“Keputusan kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan sejak 1970-an telah membawa negara kita maju pada tahap sekarang, dan kami yakin semua pihak yang bangga dengan negaranya tidak akan berasa kerdil untuk menyokong keputusan ini.

“… ini juga akan meningkatkan imej negara. Jika khidmat terjemahan diperlukan, diharapkan kerajaan akan menyediakan perkhidmatan ini,’’ katanya.

Menurut beliau lagi, keputusan itu juga akan memperkukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang bukan sahaja melambangkan perpaduan tetapi juga berperanan sebagai bahasa ilmu.

“Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa persuratan dan bahasa ilmu sejak sekian lama. Jika ada kelemahan dari sudut penggunaan bahasa kebangsaan, ini bukan kerana kelemahan bahasa itu tetapi berpunca daripada kelemahan penggunanya,” jelas beliau, menambah bahasa Melayu juga mempunyai istilah yang mencukupi dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Bagi Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, tidak wujud istilah malu mahupun rasa ketinggalan zaman sekiranya rakyat negara ini, terutamanya penjawat awam, berbahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Mengakui terdapat kumpulan tertentu yang memperlekeh dan melenting sekiranya pemimpin negara berucap dalam bahasa Melayu di luar negara, pakar bahasa itu berkata golongan tersebut mungkin lupa atau “buat-buat lupa” bahawa negara seperti Jerman dan Perancis menggunakan bahasa masing-masing di pentas antarabangsa.

“Mereka tidak peduli guna bahasa Jerman mahupun Perancis, begitu juga Belanda, dan di sebelah timur, kita dapat lihat China, Jepun dan Korea pun sama. Pemimpin mereka apabila berucap di pentas antarabangsa, menggunakan bahasa sendiri dan tidak mengunakan bahasa Inggeris pun… begitu juga halnya Indonesia yang telah lama menggunakan bahasa Indonesia dalam sebarang acara,’’ katanya.

Malah tegas beliau, seharusnya penggunaan bahasa Melayu di peringkat urus tadbir, sama ada di dalam mahupun di luar negara, dilakukan sejak dahulu lagi.

“Dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam Tahun 2020, jelas dinyatakan penjawat awam termasuk anggota pentadbiran iaitu menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik, dipertanggungjawabkan untuk memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam,” katanya, menambah bahasa Melayu juga perlu dituturkan dengan baik dan sopan.

Selain itu, Teo juga melihat penggunaan bahasa Melayu oleh rakyat negara ini membuktikan kewujudan jati diri mereka.

Sejarah merekodkan bahawa bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia pada 1 Sept 1967 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Perisytiharan itu menyusuli tindakan Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam mesyuaratnya yang berlangsung pada Mac 1967.

Bapa KemerdekaanTunku Abdul Rahman Putra Alhaj selaku perdana menteri ketika itu, menegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah melengkapkan makna merdeka buat Malaysia. - BERNAMA

Media Baharu