fb fb fb fb fb

Bahasa alat perpaduan, mencari kesamaan dalam perbezaan

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Membesar dalam persekitaran yang berbilang bangsa, memberi kelebihan kepada Muhammad Hussein Abdullah, 30 tahun untuk menguasai sekurang-kurangnya lima bahasa.

Bersyukur dengan kelebihan dirinya, anak jati negeri Perak ini sedar kemampuannya berbahasa membolehkan beliau mudah diterima baik masyarakat sekelilingnya.

Beliau dilahirkan dalam keluarga keturunan India Muslim, uniknya, keluarga Hussein menetap di sebuah perkampungan Cina di Ipoh dan belajar selama enam tahun di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

Menurutnya, sudah biasa dengan bahasa Tamil dan bahasa Cina, dia kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayunya.

"Percampuran bahasa ini memang berlaku di mana pada zaman sekolah rendah saya belajar bahasa Mandarin di sekolah dan bila saya balik rumah saya akan bercakap dalam bahasa Tamil. Di sini saya ingin mengaku bahawa peguasaan bahasa kebangsaan saya adalah agak rendah di zaman sekolah rendah tetapi perkara ini telah dapat diatasi kerana saya telah sambung belajar di sekolah menengah kebangsaan dimana kebanyakan subjek di ajar dalam bahasa Melayu," katanya.


(Muhammad Hussein Abdullah)

Tambah Hussein, dia berkebolehan berbahasa Cina dialek Mandarin dan Kantonis, selain bahasa Melayu dan Tamil membantu beliau mempunyai kelompok rakan yang majmuk meliputi berbilang bangsa.

"Perkara ini sangat penting apabila kita belajar bahasa kaum lain elemen-elemen sosiologi yang lain akan dapat difahami juga dan ini dapat mengurangkan salah faham kaum sangat penting. Kita juga dapat memupuk perpaduan antara kaum, kesefahaman budaya dan perkara-perkara lain," ujarnya.

Sementara itu, bagi Rasyidah Abu Johan iaitu salah seorang pembaca berita RTM yang fasih berbahasa Mandarin, pemilihan ke sekolah aliran Cina adalah atas permintaannya sendiri.

"Saya yang minta nak pergi sebab saya nampak kawan-kawan saya dalam kelas piano semasa itu umur lima tahun , jadi saya rasa saya tak faham apa yang mereka cakap," kata Rasyidah.

Jelasnya lagi, penguasaan pelbagai bahasa bukan sekadar nilai tambah tetapi membantu dirinya lebih sensitif terhadap budaya kaum lain yang tidak pernah dianggap satu halangan baginya.


(Rasyidah Abu Johan)

Media Baharu