KUALA LUMPUR, 31 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tekad dalam usaha mengurangkan ketirisan dana sekali gus meningkatkan ekonomi negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata azam itu menjadi keutamaan agensi itu agar SPRM kekal relevan dengan gerak kerja untuk mencapai sifar rasuah dalam negara.
"Kita akan berdepan dengan cabaran dan krisis tuntutan kerja baharu. Semua ini menuntut perubahan dalam cara bekerja, berfikir dan bertindak," katanya dalam video perutusan Tahun Baharu 2024 yang disiarkan menerusi Facebook SPRM hari ini.
Oleh itu, Azam menuntut seluruh warga SPRM melakukan perubahan dengan meningkatkan integriti, kemahiran serta pengetahuan masing-masing.
Hasrat itu selari visi dan misi SPRM yang mahu mewujudkan masyarakat di negara ini bebas rasuah serta menjadi organisasi yang dinamik dan progresif melalui pembangunan kapasiti dan kapabiliti yang berterusan.
"Jadi, amat penting untuk kita berubah serta terokai perkara baharu, tinggalkan yang lapuk, baiki yang silap dan paling penting hindari perkara yang salah.
“Saya mendoakan agar tahun ini adalah tahun yang cemerlang untuk SPRM, bermula 2024 ada beberapa fokus serta azam ditetapkan dalam gerak kerja membantu negara mencapai negara sifar rasuah," katanya.