fb fb fb fb fb

'Awasi anak-anak ketika musim tengkujuh' - Wan Mohammad Zaidi

Anggota bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar lelaki tingkatan dua dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air

KUANTAN, 16 Disember - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka bermain air ketika musim tengkujuh, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
 
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, orang ramai juga disarankan agar mengurangkan atau tidak langsung melakukan sebarang aktiviti air pada ketika ini. 
 
"Jadi kita amat berharap kepada ibu bapa terutama di musim yang sekarang ini cuba kawal anak- anak supaya tidaklah bermain dengan air atau pun di tepi tepi longkang yang besar yang mana kemungkinan arus dia cepat dan kanak kanak jatuh pun dia mungkin tidak boleh selamatkan diri dia sendiri," kata Wan Mohammad ketika melakukan pemantauan usaha mencari dan menyelamat seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air di Perumahan Makmur Seri Damai Jaya, di sini.

Wan Mohammad berkata, dua anjing Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Denti dan Frankie menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang ketika mandi di tali air Perkampungan Indera Sempurna di sini.

Anjing pengesan yang berpengalaman dalam pelbagai operasi SAR itu telah dibawa ke lokasi kejadian hari ini, selepas pihaknya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan khidmat K9 semalam.

"Operasi SAR bermula sejak 8.00 pagi tadi dan tumpuan pada setengah hari ini ialah kawasan sekitar lokasi mangsa dilaporkan terjatuh. Jika tiada tanda diberikan oleh anjing pengesan, maka kita akan menggerakkan anjing turun (mengikut arus sungai) sehingga Sungai Belat.

"Walaupun tumpuan di lokasi kejadian, namun pasukan penyelamat lain telah bergerak turun lebih awal ke kawasan sepanjang tiga kilometer dari tempat terakhir mangsa dilihat," katanya.

Sementara itu bapa mangsa, Che Jaapa Che Endut, berkata dia tidak menyangka kejadian itu menimpa anak bongsu daripada tujuh beradik itu kerana anaknya itu seorang yang sering mendengar kata.

Menurut bapa mangsa kali terakhir berjumpa anaknya adalah pada pukul 3.00 petang semalam ketika anaknya itu dikatakan meminta izin untuk keluar ke rumah rakan.

Che Jaapa pada masa sama memberitahu, dia redha dengan kejadian yang menimpa anaknya itu sekali gus berharap agar anaknya itu dapat ditemui segera.

"Dia memang tidak pandai berenang sebab itu saya bagitau daripada kecil lagi saya tidak bagi dia main dekat air, jangan pesan panjat pokok dengan main air jangan. Pakcik redha la dengan kejadian ini. saya redha la Allah bagi pinjam saya 14 tahun," kata Che Jaapa.

Pada Jumaat kira-kira pukul 3.50 petang semalam, seorang pelajar tingkatan dua Mohamad Amirul Haikal Che Jaafar, 14 tahun dari Taman Indera Sempurna, di sini dikhuatiri lemas ketika mandi bersama-sama enam rakannya di tali air tersebut.
 
Susulan kejadian itu, operasi mencari dan penyelamat (SAR) telah digerakkan yang melibatkan 45 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia serta turut membantu anggota dari badan bukan kerajaan (NGO).  

Usaha SAR hari ini turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

TETITIA YUSOFF