fb fb fb fb fb

AUKUS: Malaysia tetap dengan pendirian 10 Prinsip Bandung 1955

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Malaysia tetap berpegang teguh kepada 10 Prinsip Bandung dalam usaha menggalakkan keamanan dan kerjasama antarabangsa khususnya melibatkan isu keselamatan negara serta serantau.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata itu pendirian Malaysia terhadap Dasar Negara Berkecuali dan Kerjasama Keselamatan Tiga Hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai AUKUS.

Kamarudin menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan bagi memastikan ianya tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara dan rantau ini.

"Pendirian terhadap kerjasama AUKUS secara amnya adalah selaras dengan dasar luar negeri dan dasar negara berkecuali Malaysia.

"Kerajaan komited untuk terus mengekalkan dasar dan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali yang tidak akan menyebelahi mana-mana kuasa besar, seperti yang telah dipraktikkan selama ini," katanya.

(Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar/FOTO BERNAMA)

Tegas beliau lagi, kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan serantau dan tidak teragak-agak menyuarakan kegusaran apabila ia melibatkan kedaulatan dan kepentingan negara.

Kamarudin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu di Dewan Rakyat hari ini.

AUKUS, yang diumumkan pada September tahun lalu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara serantau kerana dikhuatiri boleh meningkatkan lagi ketegangan di rantau itu.

Media Baharu