fb fb fb fb fb

ATM nafi penglibatan anggota tentera ke Palestin

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan penglibatan anggota tentera ke Palestin seperti yang ditular menerusi platfrom Tik Tok, semalam.

Markas ATM, dalam satu kenyataan mengesahkan ia adalah video lama mengenai sekumpulan anggota ATM yang ditugaskan ke Lubnan pada 2022.

"ATM telah meneliti kandungan video tersebut dan mendapati ia merupakan sebuah video lama mengenai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850- 10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan pada tahun 2022.

“ATM menafikan kandungan video tular tersebut dan mengesahkan bahawa ia adalah tidak benar sama sekali," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, markas ATM meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Markas ATM memaklumkan video berdurasi seminit 36 saat itu, disiarkan menerusi akaun milik @adamjohan64 (https://www.tiktok.com/@adamjohan64/video/7289646712036150530?_r=1&_t=8gWzupPDTke ).

(FOTO Fb Angkatan Tentera Malaysia)

Media Baharu