KUALA LUMPUR, 1 April - Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang meningkatkan bilangan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) tahun ini bagi mengatasi masalah keciciran persekolahan dalam kalangan murid khususnya di pedalaman.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata cadangan itu melibatkan empat Sekolah K9 iaitu tiga di Terengganu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Besut, SK Merang di Setiu dan SK Pulau Redang di Kuala Nerus manakala satu di Sarawak iaitu SK Nanga Merit di Limbang.
"Bagi Sekolah K11 melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Betau, di Lipis, Pahang dan SMK Long Bedian di Baram, Sarawak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Musoddak Ahmad berhubung sejauh mana Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC) dapat mengatasi keciciran murid khususnya di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Tambah Wong, berdasarkan statistik, kadar keciciran di peringkat sekolah rendah pada tahun lepas hanya 0.06 peratus, menurun berbanding 0.29 peratus pada 2017.
Bagi peringkat menengah, kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun lepas.