fb fb fb fb fb

ASWARA rai ulang tahun ke-30, fokus lahirkan penggiat seni berkualiti

Timbalan Dekan Fakulti Teater ASWARA, Mohd Shahrul Mizad Asari / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2025- Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), meraikan ulang tahunnya yang ke-30 dengan memperkukuh komitmen untuk terus menjadi peneraju dalam melahirkan penggiat seni persembahan tanah air yang berilmu, berdaya saing dan berpaksikan nilai budaya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1994, fakulti ini telah memainkan peranan penting dalam pendidikan seni negara dengan melahirkan ramai alumni tersohor yang kini aktif dalam pelbagai cabang industri kreatif termasuk teater, televisyen, filem dan penerbitan.

Antara alumni tersohor ialah pelakon dan pengarah Syahmi Zainal, selain ramai lagi yang telah mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Teater ASWARA, Mohd Shahrul Mizad Asari, seni persembahan bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya satu bentuk pendidikan dan pembangunan sahsiah yang mampu membentuk masyarakat.

“Seni itu wujud di mana-mana. Teater adalah refleksi kehidupan. Dan ASWARA komited untuk terus menjadi institusi seni utama negara, yang bukan sahaja melahirkan penggiat seni, tetapi juga pemimpin budaya masa depan,” ujarnya ketika di temui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Tambah beliau bersempena sambutan 30 tahun insitusi berkenaan, beberapa inisiatif diadakan bagi mengukuhkan peranannya sebagai nadi kepada pembangunan seni persembahan negara

"Kita sedang mengadakan festival PETA, Penilaian Tahun Akhir di mana para pelajar menunjukkan hasil pembelajaran mereka setelah tiga tahun belajar dan fakulti Teater sendiri sedang mementaskan teater Ribut.

"Dalam minggu ini juga kami akan adakan Sijil Seni Kreatif ASWARA di mana kita panggil balik alumni untuk datang berkhidmat kepada kami di mana kami telah memanggil sobri anuar untuk mengendalikan bengkel lakonannya akan kita adakan selama 4 minggu"

Tambah beliau , Fakulti Teater ASWARA akan terus memberi penekanan kepada latihan praktikal, inovasi kurikulum dan keterlibatan industri sebagai tonggak utama pengukuhan program akademiknya.

Strategi berkenaan diyakini mampu memastikan graduan fakulti terus relevan dan berdaya saing dalam industri kreatif yang semakin mencabar dan dinamik.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD