NILAI, 11 April - Seramai 226 pekerja asing majoriti warga Bangladesh diselamatkan dari sebuah blok bangunan kedai di Nilai yang dijadikan asrama pekerja.
Asrama berkenaan didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata operasi dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu susulan laporan diterima dari pihak kedutaan Bangladesh berkenaan perkara tersebut.
Beliau berkata, tempat penginapan itu didapati telah melanggar Seksyen 24D Akta 446; majikan telah menempatkan setiap tingkat yang mempunyai satu bilik dengan 60 orang di dalamnya.
"Sesiapa sahaja yang membawa masuk pekerja pastikan mereka betul-betul bekerja di sini, jangan saja-saja bawa mereka ke sini. Saya tidak faham, kenapa pekerja-pekerja ini boleh dibawa ke negara ini, setelah membayar liabiliti dan sebagainya, tapi sampai ke sini tmereka tiada pekerjaan.
"Saya bagi amaran keras, kepada semua majikan yang berbuat sedimikian, pihak kementerian sumber manusia akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi tentang hal ini," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan yang diadakan di Jalan BBN 1/7E, Bandar Baru Nilai, di sini, pada Isnin.
Tambah Sivakumar, sebanyak empat kertas siasatan akan dibuka bawah Seksyen 24D Akta 446 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.