fb fb fb fb fb

Asnaf, fakir miskin berdepan masalah perkahwinan boleh mohon guaman percuma

ALOR SETAR, 22 Februari- Golongan asnaf dan fakir miskin yang berdepan masalah perkahwinan termasuk perceraian atau isteri yang digantung tidak bertali boleh memohon bantuan guaman secara percuma .

Jelas Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Datuk Norazmi Mohd Narawi, bantuan melalui Skim Bantuan Guaman Asnaf itu mula diperkenal sejak 2021 dengan hasil kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK); menawarkan khidmat berkaitan kes sivil dan Syariah.

Pihaknya setakat ini berjaya menyelesaikan 64 kes mahkamah syariah membabitkan perceraian seperti fasakh, taklik, hak penjagaan anak dan mutaah.

"Golongan asnaf mungkin berhadapan dengan bermacam-macam kes, contohnya kes tuntutan kemalangan jalan raya ataupun kita melihat kadang-kadang mungkin asnaf yang tidak mempunyai sumber kewangan tapi mungkin mereka mempunyai harta. Kami sentiasa berpegang kepada tiga keadaan untuk membantu iaitu mereka yang kekurangan pengetahuan, kekurangan wang dan kekurangan masa yang biasanya menjadi penghalang kepada keadilan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Nota Persefahaman dan Pelancaran Program Skim Bantuan Guaman Asnaf di Menara Zakat di sini.

Norazmi berkata LZNK memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan skim berkenaan supaya lebih banyak golongan asnaf menerima manfaat melalui tambahan dana dari semasa ke semasa.

Pihaknya juga akan giat mempromosikan skim terbabit terutama di kawasan pedalaman seperti Sik, Kulim dan Baling.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM