fb fb fb fb fb

Asia kekal prinsip diplomasi serantau, PM gesa elak polarisasi dasar tenaga

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Asia kekal komited berpegang kepada prinsip diplomasi dan perpaduan serantau sebagai asas kestabilan, meskipun berdepan tekanan perlindungan ekonomi dan nasionalisme yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap dasar tenaga dan iklim yang semakin berpolarisasi akibat persaingan strategik, menjejaskan akses jaminan tenaga secara menyeluruh kepada semua pihak.

"Kerapuhan ini mungkin paling ketara dalam bidang tenaga dan iklim, bukannya menggalakkan kerjasama. Di Asia, kita tetap berpegang kepada kepercayaan bahawa diplomasi harus mengatasi autokrasi dan persaingan sihat boleh wujud bersama hasil yang saling menguntungkan," kata Datuk Seri Anwar dalam ucaptamanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Tambah beliau, ketegangan geopolitik, tarif balas dan gangguan rantaian bekalan telah menambah ketidaktentuan ekonomi.

Situasi tersebut akan melemahkan kebolehramalan, kebolehpercayaan dan kestabilan yang sebelum ini menjadi asas kepada sistem perdagangan dan ekonomi global.

Dalam konteks serantau, Datuk Seri Anwar menegaskan Wawasan ASEAN 2025 mencerminkan keyakinan Asia Tenggara memperkukuh perpaduan dan kesepaduan, bukan sahaja dalam kalangan negara anggota, malah hubungan erat dengan negara-negara sahabat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM