fb fb fb fb fb

Peralihan tenaga perlu adil dan inklusif- PM

Datuk Seri Anwar berucap merasmikan Persidangan Energy Asia 2025 di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Peralihan tenaga perlu dirancang secara adil dan menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemampuan rakyat mengakses tenaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan tenaga bukan sekadar soal kestabilan bekalan, tetapi juga melibatkan aspek keadilan sosial dan keterangkuman.

“Kita tidak boleh abaikan golongan rentan. Akses universal kepada tenaga yang mampu milik, boleh dipercayai dan inklusif bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan kewajipan moral dalam memastikan keadilan tenaga.

“Peralihan tenaga juga mesti mengambil kira keperluan sosial dan keadilan sejagat, khususnya di Asia, di mana isu tenaga masih membelenggu ramai,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Energy Asia 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, usaha untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sistem tenaga sedia ada perlu diteruskan.

Ini berikutan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus kepada bekalan tenaga global.

Dalam konteks serantau, Datuk Seri Anwar memaklumkan, Asia telah merintis laluan baharu melalui inisiatif Rangka Kerja Pelaksanaan Teknologi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) ASEAN.

Rangka kerja itu berperanan sebagai pelan tindakan bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk membolehkan penggunaan teknologi Carbon Capture and Storage (CCS) secara terancang, selamat dan berkesan di rantau ini.

CCS dilihat sebagai antara kaedah penting dalam mengurangkan pelepasan karbon, terutamanya bagi sektor-sektor industri yang sukar untuk beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE