KUALA LUMPUR, 16 Jun- Peralihan tenaga di rantau Asia mesti dipacu oleh kerangka kewangan yang jelas serta berteraskan prinsip keadilan.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa persekitaran kondusif penting untuk meyakinkan pelabur dan menjana lebih banyak modal dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB).
Tambahnya, aspek kecekapan sistem tenaga sedia ada serta keperluan rakyat marhaen dalam proses nyahkarbon perlu diberikan keutamaan sekali gus mengelakkan penambahan jurang ketidaksamarataan.
"Kita mesti menentukan dan merangka seni bina kewangan yang jelas dan tersusun bagi membangkitkan keyakinan pelabur serta menggerakkan aliran modal yang lebih besar ke dalam projek tenaga boleh baharu (TBB) di seluruh rantau ini.
Menjamin akses sejagat kepada tenaga yang mampu milik dan boleh dipercayai bukan sekadar satu tuntutan moral, malah ia adalah asas kepada peralihan tenaga yang adil," tegas Datuk Seri Anwar dalam ucaptama beliau di Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Persidangan Energy Asia 2025 yang dianjurkan oleh PETRONAS dengan kerjasama CERAWeek oleh S&P Global sebagai rakan ilmu, menghimpunkan lebih 180 penceramah terkemuka dunia.
Lebih 4,000 peserta dari lebih 50 negara hadir, dengan matlamat menjana penyelesaian mampan ke arah pelepasan sifar bersih di Asia.
Bertemakan ‘Delivering Asia’s Energy Transition’, persidangan itu memfokuskan kepada solusi kerjasama serantau untuk memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan TBB serta memacu pembangunan sosioekonomi mampan.