KUCHING, 16 Jun- Memorandum Persefahaman (MoU) Grid Kuasa ASEAN (APG) serta rangka kerja pembangunan kabel kuasa dasar laut antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 mengenai Tenaga (SOME), yang berlangsung di bandar raya itu, hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, inisiatif Grid Kuasa ASEAN dijangka menjadi pemangkin kepada kemajuan perdagangan elektrik rentas sempadan serta memperkukuh infrastruktur tenaga serantau.
Menurut beliau, aspek inklusiviti dan kelestarian yang diterapkan menerusi pelaksanaan APG turut mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pembangunan yang adil dan mampan.
“Selaras dengan visi kementerian, PETRA telah memilih tema ‘Tenaga untuk ASEAN: Merentasi Sempadan, Membina Kemakmuran’ bagi memacu kerjasama tenaga serantau.
“Tema ini menekankan keperluan untuk meningkatkan daya saing tenaga demi pembangunan mampan ASEAN, selain menyokong pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan serta integrasi serantau yang lebih menyeluruh,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pembukaan mesyuarat.
Beliau menambah, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited menjadikan platform ini sebagai landasan kolaboratif ke arah kejayaan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Tenaga (AMEM) ke-43 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, hujung tahun ini.
Mesyuarat SOME ke-43 menghimpunkan pegawai kanan tenaga daripada negara anggota ASEAN bagi merangka keutamaan strategik sektor tenaga, memperkukuh keselamatan tenaga serantau serta mempercepatkan peralihan tenaga secara mampan dan inklusif, sejajar dengan aspirasi ASEAN ke arah masa depan yang berdaya tahan dan saling terhubung.