KUALA LUMPUR, 27 Mei – ASEAN merancang untuk memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara kaya minyak di bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, inisiatif itu dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 yang berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan tumpuan terhadap kerjasama yang lebih spesifik antara kedua-dua blok serantau.
“Pertemuan pertama dua tahun lalu di Riyadh, Arab Saudi, lebih bersifat formal bagi memperkenalkan program, dan kali ini kita teliti beberapa bidang kerjasama secara lebih spesifik,” katanya pada sidang media selepas sidang kemuncak berkenaan.
Sidang kemuncak berkenaan turut disusuli dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang turut diadakan di lokasi sama.
Terdahulu, Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah memaklumkan bahawa GCC kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion pada 2023.
“Kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah ini kepada AS$180 bilion menjelang tahun 2032 memandangkan masih terdapat potensi besar yang belum diteroka dalam perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya.