fb fb fb fb fb

ASEAN perlu segera perkukuh integrasi serantau, sedia hadapi cabaran

Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 25 Mei- ASEAN perlu segera memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta ketahanan kolektif dalam menghadapi gangguan global semakin meruncing, termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, perubahan iklim, serta peralihan pesat teknologi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, persaingan antara kuasa besar dunia serta perubahan dalam susunan geopolitik global mampu menggugat kestabilan rantau ini memandangkan negara-negara ASEAN antara yang paling terkesan tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat.

"Kita mesti mengambil kesempatan ini untuk mempertingkatkan integrasi ekonomi serantau agar rantau kita lebih bersedia menghadapi sebarang gangguan global.

"Dalam usaha kita memperkukuh pembinaan komuniti ASEAN, kita juga harus berdepan dengan realiti bahawa jurang pendapatan antara negara anggota perlu ditangani secara serius dan dijadikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.

Ucapan Datuk Seri Mohamad mencerminkan komitmen Malaysia terhadap usaha memperkasakan kerjasama serantau, sejajar dengan cabaran ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar.

Justeru negara-negara ASEAN tidak boleh bersikap pasif, sebaliknya, perlu bertindak secara kolektif dan proaktif dalam menghadapi persaingan kuasa besar dan perubahan landskap global yang memberi kesan langsung kepada kestabilan negara-negara ASEAN.

Menurut Datuk Seri Moahamd Hasan, sudah tiba masanya ASEAN merebut peluang untuk memperdalam integrasi ekonomi demi memperkukuh daya tahan rantau daripada kejutan luar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI