fb fb fb fb fb

ASEAN perlu pendekatan selaras hadapi cabaran geopolitik dan ekonomi

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – ASEAN perlu mempunyai pendekatan yang selaras dan strategik dalam menghadapi cabaran geopolitik serta ekonomi global yang semakin kompleks.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan ASEAN tidak boleh bersikap samar, sebaliknya mesti bersuara dengan nada jelas dan bersatu, khususnya dalam memperkukuh dua sinergi utama iaitu ekonomi dan politik, bagi memperjuangkan keterbukaan, berkecuali serta kemakmuran jangka panjang rantau ini.

"Pembahagian antara dasar luar dan dasar ekonomi kini sudah tidak lagi relevan kerana geopolitik dan geoekonomi semakin saling berkait rapat. Oleh itu, ASEAN mesti menamatkan amalan bekerja secara berasingan dan bertindak secara kolektif bagi menampilkan pendekatan strategik yang bersatu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Menurut Mohamad, Wawasan ASEAN 2045 menjadi pelan hala tuju penting bagi memastikan rantau ini kekal stabil, inklusif dan terus menjadi platform kerjasama untuk semua rakan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru ASEAN menghantar mesej tegas kepada dunia, menegaskan bahawa blok itu bukan pemerhati pasif, sebaliknya kuasa aktif yang memperjuangkan kestabilan, keterbukaan dan keamanan serantau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN