fb fb fb fb fb

ASEAN perlu kekal bersatu depani cabaran serantau dan global

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan ASEAN untuk kekal bersatu, berprinsip serta berpaksikan dialog dalam mendepani pelbagai cabaran serantau dan global.

Menurut beliau, perkara itu disuarakan menerusi perbualan telefon dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, malam tadi sejurus tiba dari Jakarta.

“Perbincangan turut menyentuh mengenai perkembangan semasa di rantau ini termasuk lawatan Presiden Ferdinand Marcos Jr. ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Datuk Seri Anwar berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand yang semakin menunjukkan hasil positif, meskipun berdepan beberapa insiden yang mencabar proses berkenaan.

“Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini,” katanya.

Beliau menegaskan, perpaduan ASEAN penting untuk memastikan penyelesaian konflik serantau dapat dicapai menerusi rundingan dan diplomasi yang inklusif.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE