KUALA LUMPUR, 6 Oktober– ASEAN kini memperkukuh keupayaan kolektif dalam menangani krisis kemanusiaan serantau dengan lebih berkesan, selain memainkan peranan lebih proaktif di pentas global.
Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan, kesedaran dan kesiapsiagaan ASEAN ketika ini berada ditahap yang memuaskan, khususnya dari segi logistik dan dasar.
Namun, beliau menegaskan bahawa keupayaan sebenar ASEAN masih banyak bergantung kepada hala tuju serta peranan aktif yang dimainkan oleh pengerusi ASEAN semasa.
“Kepengerusian ASEAN kini mahu memperluas peranan, bukan hanya fokus kepada isu dalaman seperti Myanmar, tetapi turut mengambil pendirian terhadap isu global seperti Gaza, Ukraine dan Laut China Selatan,” katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di TV1.
Tambah beliau, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini, banyak bergantung kepada sejauh mana Malaysia sebagai pengerusi dapat memanfaatkan peluang untuk memperkukuh pengaruh serantau dalam menangani isu kemanusiaan global seperti konflik Gaza dan pertikaian Thailand–Kemboja.
Prof Azmi turut menegaskan bahawa kehadiran Donald Trump dalam perbincangan bulan Oktober ini perlu dimanfaatkan oleh Malaysia dan ASEAN sebagai platform diplomasi bersemuka dalam menyampaikan pendirian serantau terhadap isu kemanusiaan global.
Beliau menyeru agar ASEAN lebih berani menyuarakan suara serantau di peringkat antarabangsa, tanpa hanya menunggu mandat global, supaya blok ini benar-benar dilihat sebagai pemain utama dalam isu kemanusiaan dunia.