fb fb fb fb fb

ASEAN: Malaysia, AS saling menghargai gencatan senjata

Foto FB Khaled Nordin

KUALA LUMPUR , 31 Oktober - Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth, menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN, serta peranan aktif dalam menyokong usaha Presiden Trump menjadi pengantara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Ia disuarakan beliau menerusi mesyuarat dua hala di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus) 2025 di Ibu Negara bersama Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam.

Menteri Pertahanan juga turut menyambut baik komitmen Amerika Syarikat (AS) dalam menyokong pasukan pemerhati ASEAN, bagi memperkukuh hubungan dua negara sebagai tonggak utama Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia–Amerika Syarikat

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) juga turut ditandatangani dalam kerjasama pertahanan sekali gus mengukuhkan hubungan yang lebih 40 tahun dalam menjamin keselamatan dan kemakmuran serantau.

Dalam mesyuarat itu juga, Malaysia dan AS turut memperbaharui Perjanjian Perolehan dan Perkhidmatan Saling dan berikrar untuk memuktamadkan beberapa perjanjian komunikasi, perkongsian maklumat dan geospatial dalam masa terdekat.

Kedua-dua pihak menegaskan komitmen menangani cabaran keselamatan semasa termasuk keselamatan siber, maritim, keganasan dan ekstremisme terhadap keamanan serta kestabilan serantau

Antara pencapaian yang diketengahkan adalah 14 latihan dua hala dan pelbagai hala yang dijalankan setiap tahun, termasuk latihan tembakan sebenar jarak jauh HIMARS Amerika Syarikat dan ASTROS Malaysia di Selat Melaka.

Setiap tahun juga, sekitar 300 pegawai Malaysia mengikuti latihan ketenteraan di Amerika Syarikat, selain penganjuran tetap Perbincangan Strategik Malaysia Amerika Syarikat dan Kumpulan Latihan serta Perundingan Dua Hala.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan kepentingan komunikasi dan dialog bagi mengelak salah tafsir ketenteraan, sambil menekankan bahawa penghormatan terhadap kedaulatan di Laut China Selatan perlu dikekalkan demi kestabilan rantau ini.

Menerusi Kenyataan media tersebut, kedua-duanya dijadual bertemu semula tahun hadapan di Pentagon, Washington D.C. sebagai kesinambungan kerjasama pertahanan Malaysia Amerika Syarikat.

Trainee