fb fb fb fb fb

ASEAN lulus draf tambahan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Mei –Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) telah bersetuju dan meluluskan draf tambahan kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), satu langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan serantau.

Draf tambahan itu membuka laluan kepada pelaksanaan prosedur domestik oleh negara-negara anggota ASEAN dan Timor-Leste bagi menyertai perjanjian tersebut secara rasmi.

Draf berkenaan menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk membolehkan penyertaan Timor-Leste dalam SEANWFZ, sekali gus menandakan kemajuan besar dalam integrasi negara itu ke dalam kerangka politik dan keselamatan serantau ASEAN.

Dalam majlis penyerahan rasmi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku pengerusi mesyuarat, telah menyerahkan draf tambahan tersebut kepada Thailand, negara pemegang amanah perjanjian.

"Langkah itu mencerminkan kesepakatan kukuh ASEAN dalam memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon bebas senjata nuklear,” kata beliau semasa majlis itu.

Draf tersebut dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Eksekutif SEANWFZ pada 29 April lalu selepas siri perbincangan dan rundingan antara negara anggota.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD