fb fb fb fb fb

Malaysia gesa ASEAN bersatu hadapi isu Gaza, Myanmar

Datuk Seri Mohamad Hasan/ Foto Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 25 Mei– Malaysia menegaskan bahawa ASEAN tidak boleh terus bersikap berkecuali dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang sedang melanda Gaza dan Myanmar.

Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN perlu memperkukuh suara kolektifnya dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.

"ASEAN kini berdepan ujian terhadap nilai terasnya, dan hanya dengan pendirian bersama yang tegas dapat ia kekal relevan serta dihormati di persada global.

"Krisis yang berlaku di Gaza serta konflik berpanjangan di Myanmar menguji prinsip dan keutuhan ASEAN sebagai satu entiti serantau.

"Sudah tiba masanya kita bersuara lantang, memegang teguh prinsip undang-undang antarabangsa dan nilai sejagat," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau turut mengutuk sekatan ketenteraan Israel ke atas Gaza yang menurutnya telah mengakibatkan kebuluran, kematian dan penderitaan meluas dalam kalangan penduduk awam.

Beliau turut menyeru ASEAN agar memainkan peranan lebih aktif dalam menamatkan kekejaman tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM