KANGAR, 25 Mei - Junior AiREd Bootcamp 2025 membuka peluang pelajar sekolah rendah berfikir secara kritis dan kreatif, mempelajari asas pengaturcaraan robotik, menyelesaikan masalah dunia sebenar serta berkolaborasi dalam pasukan dan membina keyakinan.
Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, program itu menghimpunkan 100 murid daripada 10 buah sekolah terpilih seluruh Perlis.
Mereka dibimbing 20 guru mentor Junior AiREd serta fasilitator teknikal daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang memainkan peranan penting sebagai inspirasi dan pembimbing teknologi masa depan.
" Tetapi yang penting meningkatkan kompetensi dalam bidang ai ini, bidang robotik supaya anak-anak Perlis yang berada di sekolah-sekolah ini tidaklah ketinggalan dalam bidang robotik ini.
"Ini daya usaha Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, dimana penaungnya Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail supaya kita meningkatkan kemahiran bukan sahaja dengan memberi zakat tetapi dalam membantu ihsan kemahiran kendiri bagi anak-anak kita," kata Datuk Dr Kamaruddin pada Perasmian Junior AiRED Bootcamp yang berlangsung di Dewan Utama Mes Pegawai Kanan Polis, di sini.
Sebagai menyokong penyertaan dan semangat inovasi anak muda Perlis, FCoEE turut menyampaikan mock cheque bernilai RM33,960.00.
RM15,000.00 disalurkan kepada pasukan robotik UniMAP bagi persiapan menyertai pertandingan Malaysia Open RoboCup 2025 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos akan datang.
Manakala RM18,960.00 lagi disalurkan kepada pasukan Junior AiREd kategori sekolah rendah sebagai sokongan kepada usaha awal memperkenalkan Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik kepada pelajar peringkat rendah dan membantu persiapan pasukan sekolah rendah tersebut menyertai pertandingan Malaysia Open 2025.
Program dianjurkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan UniMAP.