SHANGHAI, 5 November -Menjelang kepengerusian ASEAN-GCC + China 2025, Malaysia komited berkongsi visi prinsip pandangan jauh ke masa hadapan, demi kemakmuran bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis, prinsip yang diketengahkan China itu mampu memanfaatkan perkembangan ekonomi negara serantau.
"Sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN-2 berpotensi menjadi penggerak untuk pertumbuhan sosio-ekonomi inklusif yang membuka jalan ke arah era kemakmuran bersama yang mampan, seperti yang telah kita lihat di China, dalam mempromosikan tadbir urus yang baik dan memerangi pembasmian rasuah serta melaksanakan agenda pembaharuan sosio-ekonomi dan perindustrian", katanya pada Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.
Dalam majlis sama, Malaysia diiktiraf sebagai 'country of honour' dan merupakan negara kedua menyampaikan ucaptama selepas Perdana Menteri China, Li Qiang.
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan sebagai negara pengemudi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Kuala Lumpur berhasrat mempertingkat kerjasama dan rangka kerja serantau yang inklusif.
Kerjasama pelbagai negara dalam perdagangan bebas serta kemampanan perlu dimanfaatkan untuk kemajuan global, bukan sebagai senjata bagi melenyapkan persaingan.
Perdana Menteri akan berada di China selama empat hari sehingga 7 November ini. Lawatan kerja itu antara lain memenuhi jemputan Perdana Menteri Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7 di Shanghai yang merupakan hab kewangan global.
BERITA BERKAITAN