SHANGHAI, 4 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, bagi memulakan rangka lawatan kerja beliau ke China selama empat hari hingga 7 November ini.
Lawatan itu bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Li Qiang agar Anwar menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7) di Shanghai yang merupakan hab kewangan global.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao Shanghai pada pukul 9.50 malam waktu tempatan.
Ketibaan Anwar disambut Duta Besar Malaysia di Beijing Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Syed Farizal Aminy Syed Mohamad.
Turut menyambut ketibaan beliau, Timbalan Datuk Bandar Shanghai dan Setiausaha Parti Daerah Minhang iaitu Chen Yu Jian serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Esok, Perdana Menteri dijadual hadir dan seterusnya menyampaikan ucaptama dalam CIIE ke-7.