fb fb fb fb fb

Apungan harga ayam dan telur, KPKM komited cari alternatif 'menang-menang'

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memastikan pengapungan harga ayam dan telur dapat memberikan situasi menang-menang antara industri dan rakyat.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, ke arah itu, pihaknya melakukan pelbagai langkah bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan mendapat bekalan mencukupi, dalam masa sama menguntungkan pengguna, penternak dan pembekal.

Tambah beliau, usaha itu dilaksana bersama pihak industri dan syarikat pasar raya di seluruh negara.

"Kita bekerjasama dan berbincang dengan pemain industri. Mereka memberi jaminan terhadap bekalan telur dan ayam di pasaran adalah mencukupi.

Harga ayam juga menunjukkan sedikit penurunan, kebelakangan ini. Ini berkait dengan kacang soya dan jagung bijirin, yang menyebabkan harga ayam berada dalam keadaan stabil," kata Mohamad kepada pemberita selepas selepas menjadi tetamu dalam program Naratif Khas di TV1.

Dengan langkah pengapungan harga ini juga, penternak dapat beroperasi secara maksimum dan mendorong pertumbuhan industri ternakan negara.

KPKM juga melakukan intervensi bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan untuk mendapatkan bekalan ayam dan telur dengan harga yang berpatutan.

Ia termasuk menerusi penglibatan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan mempergiat Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan jualan-jualan premis Pertubuhan Peladang, Peladang Outlet dan Agrobazaar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM