KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat untuk menerokai pelaksanaan 'waqaf syarti' atau wakaf bersyarat bagi melaksanakan proses pembangunan wakaf secara bersasar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah wakaf bersyarat mengambil kira elemen hasrat bersama antara penyumbang dan MAIPs selaku pemegang amanah tunggal harta wakaf di dalam negeri.
"Penerokaan ini dilihat sebagai salah satu kaedah dalam merancakkan lagi semangat berwakaf serta usaha menyuburkan pembangunan aset wakaf sedia ada," titah baginda selepas berkenan berangkat menerima Persembahan Zakat Perniagaan daripada Bank Kerjasama Rakyat bagi Tahun 2022 kepada MAIPs berjumlah RM242,902 di Menara Kembar Bank Rakyat, ibu negara.
Hadir mewakili pihak Bank Rakyat ialah Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani dan Ketua Pematuhan Syariahnya, Mohd Zamerey Abdul Razak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menyambut baik hasrat bagi menerokai elemen akad kontrak antara pewakaf dan MAIPs, tempoh masa dan syarat-syarat kerjasama yang sesuai bagi pelaksanaan sesuatu projek wakaf ini sesuatu yang cukup bermanfaat.
Kerjasama bersama pihak Bank Rakyat dapat menyuburkan potensi pengembangan wakaf mengambil kira kepakaran dalam bidang teknikal dan perbankan bagi memastikan sesuatu produk wakaf yang dicadangkan dapat dilaksanakan dan direalisasikan.