fb fb fb fb fb

Apung harga beras putih tempatan, atasi kekurangan bekalan - BRO

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin

SUBANG JAYA, 16 Mac - Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) mencadangkan supaya kerajaan mengapungkan harga beras putih tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di pasaran.

Presidennnya Datuk Ameer Ali Mydin berkata, isu kekurangan beras putih tempatan bukan isu baharu dan ia sudah hampir setahun tidak dapat diatasi.

Beliau berkata, harga RM26 untuk 10 kilogram (kg) beras putih tempatan yang dijual ketika ini tidak patut dijual memandangkan harga padi di pasaran adalah RM1,750 per tan.

"Harga padi ini, jadi kalau harga padi ini RM1,750 jadi kita tukar jadi beras itu dia akan jadi RM35, bagaimana kalau harga padi begitu nak jual pada harga RM26. Jadi apabila kita nak kawal harga, kalau tiada barang lebih baik kita jangan kawal, saya harap cadangan peruncit-peruncit kita kalau boleh apungkan harga sahaja," kata Ameer Ali.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad berkata demikian kepada pemberita selepas program Shopping Raya 2024 Yayasan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bersama-sama anak-anak asnaf dan tahfiz, di Mydin Mall Subang Jaya.

Dalam pada itu, Ameer Ali turut mencadangkan supaya setiap keluarga diberikan RM20 kepada golongan B40 melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk menampung perbezaan harga beras sekiranya diapungkan.

Beliau yakin, sekiranya kaedah berkenaan digunakan, masalah ketirisan beras putih tempatan dapat diatasi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini adalah kes terpencil kerana hanya babitkan beberapa kawasan dan bukan seluruh negara.

Beliau berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu berkenaan.

TETITIA YUSOFF