fb fb fb fb fb

APR SIAW 2025 gilap kepimpinan belia rentas budaya

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul bergambar bersama peserta bengkel ketika hadir pada Majlis Penutupan Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Melahirkan barisan pemimpin masa hadapan yang mampu memimpin dunia dengan lebih berkesan dalam era global yang semakin kompleks menjadi matlamat utama penganjuran Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik (APR SIAW) 2025.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Majlis Pengakap Negara, Tan Sri Johari Abdul, program itu memberi ruang kepada para pengakap muda untuk memahami dan menghormati kepelbagaian budaya negara-negara rantau Asia-Pasifik, sekali gus menggalakkan nilai kehidupan bersama secara harmoni.

“Sekiranya pemimpin muda tidak bersedia memahami budaya masing-masing, maka kita tidak akan mampu hidup bersama dengan baik. Kehidupan di dunia ini bukan pengasingan. Salah satu medium terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan ini adalah melalui pengakap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup APR SIAW 2025 di ibu negara, hari ini.

Program anjuran bersama Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (Rantau Asia-Pasifik) dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) itu telah berlangsung dari 26 hingga 29 Jun, melibatkan 60 ahli pengakap dari 15 buah negara di rantau Asia-Pasifik.

Mengulas lanjut, Tan Sri Johari menekankan bahawa ahli pengakap perlu bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa organisasi, malah perlu bersedia dilatih menjadi pemimpin negara yang berwibawa dan berpandangan jauh.

“Kita mahu mereka ini pulang ke negara masing-masing bukan sahaja dengan pengalaman baharu, tetapi juga dengan semangat untuk memimpin dan mencipta impak positif,” tambah beliau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN