SARAWAK, 14 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak berjaya menahan sebuah bot tunda beserta tongkang yang beroperasi menggunakan dokumen tamat tempoh pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari Tanjung Po, Kuching sekitar pukul 10.00 malam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dalam kenyataannya memaklumkan tangkapan dibuat semasa aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Kuching dan telah mengesan sebuah bot tunda berserta tongkang dengan muatan pasir dianggarkan satu tan metrik pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari aset Maritim Malaysia.
(Tongkang yang beroperasi menggunakan dokumen tamat tempoh ditahan APMM di sini)
"Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen lesen vesel yang telah tamat tempoh dan tidak memiliki sebarang dokumen "Port Clearance" ketika diperiksa oleh penguatkuasa," katanya
Bot tunda beserta tongkang tersebut dikendalikan oleh enam kru termasuk nakhoda kesemuanya lelaki berumur dalam lingkungan 22 hingga 67 terdiri dari dua lelaki warga tempatan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap, manakala empat lelaki warga India tersebut disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Kesemua kru, bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir yang dianggarkan satu tan metrik tersebut ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Malaysia di Muara Tebas untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana mempamerkan lesen vesel yang telah tamat tempoh ketika diperiksa, dibawah Akta Kastam 1967 kerana tidak memiliki dokumen "Port Clearance" dan Akta Imigresen 1959/63 kerana keempat kru warga asing tersebut disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.