KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan penambahan aset bagi menangani pelbagai isu termasuk pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan di perairan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata keupayaan aset sedia ada tidak mencukupi untuk berdepan tugas yang semakin mencabar.
Anggota APMM bukan sahaja membuat rondaan dan mencegah pencerobohan nelayan asing malah turut terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat.
"Tidak mencukupi dengan keperluan mereka di semua keadaan dan bukan saja nak menguruskan hal-hal mencari dan menyelamat, kita juga membuat rondaan biasa pencerobohan nelayan asing. Memang tidak mencukupi dengan (aset) sedia adalah," kata Saiful Lizan.
Menurut beliau, APMM akan memperoleh aset baharu dalam masa terdekat. Antaranya kapal ronda persisiran pantai, pesawat udara dan 30 buah bot pemintas laju.
Ketika ini agensi itu mempunyai 260 unit aset merangkumi 70 kapal dan 190 bot.
(Tugas pihak Maritim bukan hanya tertumpu kepada rondaan, pencerobohan nelayan asing
dan pendatang asing tanpa izin malahan turut terlibat dalam operasi mencari
dan menyelamat/BERNAMA)
"Insya-Allah perkara itu sedang diatasi dan kita mengharapkan seperti yang dijanjikan kepada pihak APMM dan Kementerian Dalam Negeri kita akan menerima pada tahun ini sebuah kapal dahulu untuk OPV dan seterusnya bagi tahun hadapan 6 bulan pertama kapal kedua dan seterusnya kapal ketiga. Jadi Disember tahun depan kita akan mempunyai 3 kapal OPV baru yang akan diserahkan kepada APMM," katanya selepas merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) Peringkat Kebangsaan di Batu Buruk di sini.
Penganjurannya disambut serentak dengan Minggu Lautan Sedunia bersama Universiti Terengganu (UMT).