KUALA LUMPUR, 18 April- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengemukakan dua alternatif melibatkan pelbagai gred bagi permohonan penambahan jawatan kontrak di seluruh negara.
Dua alternatif itu ialah perjawatan bagi gred lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah serta perjawatan hingga kumpulan pengurusan dan profesional.
Ketua Pesuruhjayanya, Aminurrahim Mohamed berkata permintaan berkenaan adalah daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar penambahan perjawatan kontrak lebih optimum kepada pelaburan kerajaan.
“Permohonan itu masih di peringkat kami (APM) kerana permohonan yang dibuat pada Februari lepas telah dipulangkan semula kepada kami untuk diberikan dua alternatif tersebut.
“Kami juga diminta untuk memberikan anggaran bajet dan keperluan sekiranya melibatkan (penambahan) peringkat gred SPM ke bawah atau hingga ke Ijazah Sarjana Muda,” katanya.
Aminurrahim berkata demikian selepas melancarkan Ops Prihatin APM sempena Aidilfitri 2023 di Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.
Pada Februari lepas, Aminurrahim dilaporkan telah membuat permohonan agar kerajaan mempertimbangkan penambahan sebanyak 1,501 jawatan kontrak di seluruh negara bagi melengkapkan keperluan penugasan agensi berkenaan.
(Aminurrahim Mohamed pada pelancaran Ops Prihatin)